Thursday, July 9, 2015

Survivor....


Pagi-pagi tadi, aku sempat menonton sebentar video yang dikongsi di facebook Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu (MTEM). Video yang memaparkan seorang graduan bernama Zahra, mewakili suara generasi baru.... video tersebut boleh ditonton di sini ..... video zahra


Ya, aku amat setuju dengan apa yang diperkatakan oleh Zahra. Aku pernah mengalami keadaan sepertinya. Aku pernah duduk di tempatnya. Namun, Alhamdulillah kehidupan aku kini kurasakan sedikit selesa berbanding sewaktu baru tamat belajar, kira-kira 11 tahun yang lepas.

Seperti Zahra, aku bergelar graduan daripada universiti awam dalam negara sahaja. Semangat yang tinggi membuatkan aku ingin ke menara gading kerana ingin keluar dari kepompong kehidupan yang agak sempit. Aku mempunyai 9 orang adik beradik dan aku merupakan anak yang ke-4. Agak sempit sedikit kehidupan aku sekeluarga tetapi Alhamdulillah ibu bapa aku dapat membesarkan aku menjadi orang yang berguna walaupun hidup dalam keadaan yang sedikit kurang.

Orang kata "belajar tinggi-tinggi nanti dapat kerja yang hebat-hebat, gaji besar boleh tolong mak ayah".... Itulah yang aku pegang bagi memotivasi diri aku yang tidak sehebat dan tidak sepandai anak orang lain.....


Diploma

Ahirnya, aku dapat menamatkan pengajian diploma aku selama 3 tahun. Selepas itu, niat di hati ingin terus bekerja bagi membantu keluarga dan adik-adik yang masih bersekolah. Tambahan pula, aku kehilangan ayah (sebaik sahaja tamat latihan industri) yang menjadi periuk nasi kami sekeluarga. Ibu tidak bekerja. Aku sebagai seorang anak lelaki yang belajar sehingga diploma terasa aku yang perlu memikul tanggungjawab seorang ayah pula. Puas aku mencari kerja dengan mengisi permohonan online dan menghantar resume baik melalui emel mahupun by hand ke pelbagai syarikat. Asalkan dengar sahaja ada jawatan kosong, aku pasti hantar tidak kira sama ada di utara ataupun selatan dan semestinya di sekitar lembah klang... Namun, nasib aku tidak sebaik beberapa rakanku yang mudah mendapat kerja. Aku juga ada rakan-rakan yang senasib denganku sewaktu itu... Rata-rata syarikat mahukan calon yang mempunyai pengalaman dan kemahiran tertentu. Maklum sajalah, bidang IT/ sains komputer ini memerlukan kemahiran yang tinggi sewaktu itu kerana berlaku lambakan graduan IT. Siapa yang salah?

Oleh kerana susah bagiku untuk mendapat pekerjaan, namun Alhamdulillah aku dapat bekerja di sebuah syarikat kecil yang memberi peluang kepada golongan seperti saya untuk mencari pengalaman dalam bidang IT. Tiada gaji yang diberikan, tiada surat tawaran bekerja dan tiada jaminan apa-apa. Cuma kami diberikan elaun RM 10 sehari sahaja sebagai tambang dan duit makan minum harian. Alhamdulillah...

Setelah beberapa bulan mencari pengalaman di situ, aku disuruh ibuku untuk melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah. Pada mulanya aku enggan kerana aku masih percaya akan ada panggilan temuduga bagi jawatan yang aku telah mohon. Aku yakin dan aku tidak mahu berputus asa. Melihatkan raut wajah ibuku yang benar-benar inginkan anaknya belajar ke peringkat yang lebih tinggi, jadi aku ikutkan sahaja. Bagaimana dengan yuran pengajian? Hanya PTPTN jawapannya. Namun, aku pasrah kerana PTPTN  sudahku ambil semasa diploma. Aku berazam mahu membayar setelah aku mendapat pekerjaan tetapi apakan daya, tiada rezeki aku untuk membayar balik. Oleh itu, aku terpaksa memohon PTPTN bagi membiayai pengajian ijazahku dan membuat penangguhan pembayaran balik. Walaupun membuat pengguhan, kadar faedah tetap dikenakan sepanjang tempoh penangguhan tidak kira apa alasan sekalipun.... Sedikit kecewa namun apa boleh buat?


Ijazah

Setelah tamat ijazah (di universiti yang sama) dan bergelar graduan, harapanku supaya mudah mendapat kerja semakin meninggi. Namun, setelah ke sana ke mari mencari kerja, ada pula dengar kata-kata orang, syarikat tak mampu bayar gaji tinggi kepada pemegang ijazah. Mungkin sebuah dua syarikat kecil sahaja yang begitu..... Aku tidak berhenti di situ sahaja, aku gagahkan diri untuk terus mencari kerja apa sahaja asalkan halal untukku membayar balik pinjaman dua PTPTN (diploma dan ijazah). Kerja pertamaku siapa sangka?... mohon sebagai cashier di Carrefour tetapi dilanti menjadi roller boy (bertugas menyemak harga di rak dengan memakai roller blade). Gaji pertamaku hanya sekitar RM 300 sahaja kerana masuk tidak cukup bulan. Kalau cukup bulan gaji hanya sekitar RM 700. Pada tahun itu apa sahaja yang boleh dibeli? Ingin naik kenderaan awam, jangan bermimpilah sebab sangat tidak efisyen. Tidak ada kenderaan awam yang lalu dari rumah aku ke pasaraya tersebut. Berbekalkan motor arwah ayahkulah aku ke tempat kerja.

Dipendekkan cerita, aku telah bekerja di banyak syarikat baik kecil mahupun besar, dan kebanyakannya adalah kontrak bergaji sekitar RM 1000 sehingga RM 1500. Dengan belanja wajib pada masa itu seperti tambang bas/LRT, makan minum, telefon bimbit, bayaran balik PTPTN, dan sedikit kepada ibuku, top up belanja rumah dan lain-lain... berapa agaknya tinggal? Itu tidak termasuk belanja hiburan yang sememangnya aku tidak suka kepad hiburan.... tidak termasuk sewa rumah, api air kerana aku tinggal dengan ibuku...

Akhir sekali, sebelum aku berkahwin, pekerjaanku yang agak stabil adalah apabila bekerja di PNB hanya dengan gaji RM2000 sebulan. Itupun setelah 2 tahun mencari kerja dan telah banyak kali bertukar kerja. Pada awalnya, aku berasa jumlah itu adalah besar kerana aku masih bujang, tidak perlu membayar bil api, air dan sewa rumah. Aku hanya perlu bayar PTPTN, tambang pengangkutan awam, makan minum, telefon bimbit, duit kpd ibuku, duit utk top up belanja rumah dan sebagainya, Aku tidak membeli kereta kerana aku tahu peritnya berkereta. Lagipun aku bekerja di tengah bandar, amat mustahil untuk aku bawa kereta kerana memikirkan parking, petrol, sesak dan sebagainya. Walaupun kenderaan awam tidak efisyen namun aku gagahkan diri dengan keluar awal iaitu selepas solat subuh kerana memang belum tentu aku dapat sampai jam 8 pagi kalau sedikit lewat. Walhal, jika berkereta dan tidak sesak jalan, ia hanya mengambil masa 20-30 minit sahaja dari rumah ke pejabat di tengah bandar. Sampai bilakah perkara ini akan berterusan? Di manakah noktahnya?

Selagi kita tidak berubah, selagi itulah tiada apa yang akan berubah.... sistem pengangkutan tetap tidak akan efisyen dari pelbagai sudut...

Aku seperti Zahra, sayangkan Malaysia, negara tanah tumpahnya darahku..  negara yang banyak menyimpan kisah pahit dan manis bagi aku yang tidak mungkin aku akan lupakan sampai bila-bila... Dengarlah rintihan warga Malaysia wahai pihak berwajib dan yang berkuasa ke atas negara tercinta ini...