Itulah dia perasaan yang aku alami selama bergelar seorang pensyarah. Penat memang penat tetapi itulah yang aku cari, kepuasan diri…..
Puas hati apabila dapat mencurahkan ilmu kepada anak-anak murid, berkongsi pengalaman kerja dan pengalaman hidup, di samping menasihati anak-anak murid walaupun belum tentu mereka mendengar dan sudah tentu mereka tidak suka mendengar bebelan tersebut. Hahaha….. Yang pasti, aku mendapat kepuasan diri apabila ilmu yang dicurahkan dapat difahami dan digunakan oleh anak-anak murid….
Hampir setiap hari hidup aku di pejabat adalah mengajar. Ada juga hari di mana aku tidak mempunyai kelas tetapi ada kerja-kerja selain daripada mengajar yang perlu aku lakukan. Di antara kesibukan itu adalah persiapan mengajar kerana aku tidak suka sama sekali menghadirkan diri di dalam kelas tanpa persediaan yang rapi. Kata orang, aku ini seperti ‘perfectionist’. Apa yang aku buat, aku cuba jadikan ia sesempurna yang boleh.
Sebelum ini, aku pernah bekerja di pelbagai organisasi sebagai pekerja di bahagian pentadbiran. Ini termasuklah jabatan kerajaan mahupun swasta. Perbezaan ketara yang aku dapat rasakan ialah kepuasan diri. Dulu aku tidak mendapat kepuasan diri sehinggalah aku mengambil keputusan untuk segera melanjutkan pelajaran di peringkat Master demi mencapai apa yang dihajati. Kini, aku berasa sangat berpuas hati dengan kerja aku, seronok walaupun penat. Dulu, kalau penat, selalu aku mengeluh dan terasa ingin sahaja berhenti kerja dan selalu rasa malas untuk ke pejabat. Kini, tidak lagi. Sungguhpun penat, aku sentiasa bermotivasi untuk ke pejabat bagi menyiapkan kerja-kerja aku. Setiap hari aku bekerja lebih masa walaupun tidak dibayar elaun lebih masa. Dulu, pasti aku mengeluh jika perlu bekerja lebih masa (walaupun dibayar) dan sentiasa mengelak supaya aku dapat pulang ke rumah segera. Pasti aku mengelak untuk datang pejabat pada hari cuti atau hari sabtu ahad. Kini, aku sentiasa bermotivasi untuk ke pejabat sehinggakan aku sanggup pergi ke pejabat pada hari-hari cuti. Namun begitu, komitmen terhadap keluarga aku bertambah. Sudah mempunyai 2 orang anak, susah untuk itu. Tetapi jika perlu dan terpaksa ke pejabat pada hari minggu, aku tidak pernah mengelak.
Jika dulu, penat di pejabat tidak akan terbawa-bawa ke rumah. Tetapi kini, aku terpaksa membawa pulang ke rumah demi memastikan kerja-kerja aku siap dan kelas aku berjalan lancar. Dulu, sampai sahaja rumah, aku dapat berehat dan hari-hari cuti merupakan hari cuti yang bermakna bagi aku. Tidak perlu fikir pasal kerja. Bagi aku, kerja hanya perlu difikirkan pada hari bekerja dan waktu kerja sahaja. Kini, kerja aku tidak pernah putus. Asalkan tidak siap kerja sahaja, pasti aku membawa pulang kerja-kerja tersebut. Contohnya, persediaan kelas pada minggu berikut, perlu disiapkan sebelum masuk kelas hari pertama pada minggu berikutnya. Jika tidak, sudah pasti anak-anak murid aku kabur dengan pelajaran pada hari tersebut. Mudah-mudahan, anak-anak murid aku belajar bersungguh-sungguh walau apapun bidang yang mereka ceburi dan juga mudah-mudahan mereka berjaya di dunia dan di akhirat kelak.
Itulah dia kerjaya aku sekarang. Penat tetapi menyeronokkan.