Thursday, October 20, 2011

Bebas pun salah, kongkong pun salah


Semalam, slot Khidmat Syariah di TV AlHijrah mendedahkan kisah beberapa gadis bawah umur yang terlanjur di awal usia mereka, sekitar 12 tahun sehingga 18 tahun. Ada di kalangan mereka merupakan pelajar yang pintar di sekolah. Sangat menyedihkan nasib yang menimpa mereka. Kita selalu mendengar supaya jangan terlalu membiarkan anak-anak kita hidup bebas untuk mengelakkan perkara tersebut berlaku. Namun, slot Khidmat Syariah semalam mendedahkan salah seorang daripada gadis-gadis tersebut terlanjur walaupun mendapat kongkongan daripada ibu bapanya. Ya Allah, apa nak jadi dengan dunia kita sekarang. Bebas salah, kongkong pun salah. Jadi, apakah jalan yang terbaik untuk membendung masalah ini terus berlaku?
Walau apapun, memang tidak dinafikan didikan agama yang nipis menyumbang kepada terjadinya masalah ini. Jadi, kuatkanlah pegangan agama kita. Ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting dalam hal ini.
Pada pendapat aku, slot sebegini amat berguna dan sangat bermakna dalam menyalurkan maklumat kepada masyarakat umum tetapi berapa ramaikah yang menontonnya? Pihak berwajib perlu mencari jalan supaya slot ini menarik perhatian ramai penonton.
Aku nampak program ini cuba memberitahu kepada gadis-gadis senasib mereka bahawa ada jalan bagi mereka supaya tidak mengulangi dosa untuk kali kedua iaitu membunuh bayi dalam kandungan ataupun membuang bayi tersebut. Talian telefon dipaparkan di kaca tv supaya gadis yang senasib menghubungi bagi mendapatkan bantuan. Secara peribadi, aku menyokong program ini bagi membantu dan mengurangkan masalah buang bayi di tempat-tempat yang tidak sepatutnya. Namun, ada kekurangan yang aku rasakan. Mengapa hanya mendedahkan kesilapan gadis-gadis tersebut sahaja? Aku sangat yakin bahawa gadis-gadis tersebut telahpun sedar atas kesilapan mereka dan bertaubat atas perbuatan terkutuk itu. Jadi, mengapa tidak didedahkan sekali apa terjadi kepada pasangan mereka? Bagi aku, ia perlu supaya memberi kesedaran kepada remaja-remaja lelaki. Jika semua orang tahu, apakah akibat jika melakukannya, maka sekurang-kurangnya apabila terniat sahaja untuk melakukannya, mereka akan beringat akan akibatnya. Rata-rata program sebegini hanya mendedahkan kesilapan mereka dan mempamerkan kesedaran mereka sahaja. Bagi aku, ini tidak wajar kerana paparan tersebut hanya berpihak kepada satu pihak sahaja.
Wahai pihak bertanggungjawab, mengapakah hanya kisah gadis yang malang itu sahaja dipaparkan? Mengapakah tidak selongkar sahaja kisah pasangan mereka? Mengapakah pasangan mereka tidak mendapat apa-apa balasan daripada perbuatan tersebut? Mengapa? Tidak ada bukti yang kukuhkah untuk mendakwa perbuatan mereka? Mengapa? Atau adakah disebabkan ibubapa si gadis malang itu tidak mahu melaporkan kepada polis kerana tidak mahu memanjangkan cerita lantaran mahu menutup malu? Takut malu dengan masyarakat? Jika ia berterusan, dikhuatiri remaja-remaja lelaki tidak akan mendapat apa-apa pengajaran daripada perbuatan tersebut. Maka, ia mungkin akan berterusan dan sentiasa bertambah dari semasa ke semasa tanpa berkurangan.
Akhir kata, marilah kita didik anak-anak kita dengan ajaran Islam yang sepatutnya. Perkara ini perlu dilaksanakan oleh semua pihak bukan hanya pihak-pihak tertentu atau golongan ibubapa sahaja.

Wallahu ‘alam.

No comments:

Post a Comment