Saturday, October 8, 2011

Tabik Pak Posmen


Semalam, sewaktu aku pulang ke rumah pada waktu tengah hari untuk makan bersama isteri, aku terlihat seorang posmen yang membuat aku kagum seketika. Waktu itu hujan renyai-renyai dan kelihatan posmen itu menghantar surat dari rumah ke rumah. Aku pasti bajunya dibasahi hujan walaupun sedikit. Namun, aku tidak dapat melihat senario itu lama-lama kerana aku sedang memandu. Apapun, aku tabik pada posmen yang punyai sikap begitu.
Sewaktu itulah aku rasa sangat bersyukur dengan pekerjaan aku sekarang ini. Aku hanya duduk di dalam pejabatku yang berhawa dingin. Tidak perlu berhujan ataupun berpanas. Aku tidak perlu bersesak-sesak di jalan raya untuk pergi ataupun pulang ke rumah. Aku punyai masa untuk mengambil dan menghantar anakku ke taska dan pelbagai lagi aktiviti yang aku dapat lakukan dengan penuh rasa kesyukuran.
Sesetengah pekerjaan memerlukan pekerjanya berhujan dan berpanas. Kebanyakan orang ke tempat kerja, mereka perlu bersesak di jalan raya. Dahulu ya, akupun pernah bersesak di jalan raya yang sangat menguji kesabaranku. Aku juga pernah hanya menaiki bas dan LRT untuk ke tempat kerja di sekitar kuala lumpur. Seperti sedia maklum, menunggu bas ini amat menguji kesabaran diri kita. Aku pernah keluar rumah seawal jam 6 pagi untuk memastikan aku tidak ketinggalan bas dan supaya tidak terlewat sampai ke pejabat. Aku pernah sampai rumah pada jam 10 malam kerana masalah bas dan kesesakan jalan raya.
Alhamdulillah, perkara-perkara tersebut telah aku alami dan kini aku aku tidak perlu risau lagi kerana terlewat, aku tidak perlu bergegas mengejar bas dan aku tidak perlu bersesak lagi kerana tempat kerja aku kini melawan arus. Secara analoginya orang ke bandar, aku ke kampung.
Alhamdulillah aku panjatkan kesyukuranku kepada Illahi……

No comments:

Post a Comment