Thursday, October 20, 2011

Bebas pun salah, kongkong pun salah


Semalam, slot Khidmat Syariah di TV AlHijrah mendedahkan kisah beberapa gadis bawah umur yang terlanjur di awal usia mereka, sekitar 12 tahun sehingga 18 tahun. Ada di kalangan mereka merupakan pelajar yang pintar di sekolah. Sangat menyedihkan nasib yang menimpa mereka. Kita selalu mendengar supaya jangan terlalu membiarkan anak-anak kita hidup bebas untuk mengelakkan perkara tersebut berlaku. Namun, slot Khidmat Syariah semalam mendedahkan salah seorang daripada gadis-gadis tersebut terlanjur walaupun mendapat kongkongan daripada ibu bapanya. Ya Allah, apa nak jadi dengan dunia kita sekarang. Bebas salah, kongkong pun salah. Jadi, apakah jalan yang terbaik untuk membendung masalah ini terus berlaku?
Walau apapun, memang tidak dinafikan didikan agama yang nipis menyumbang kepada terjadinya masalah ini. Jadi, kuatkanlah pegangan agama kita. Ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting dalam hal ini.
Pada pendapat aku, slot sebegini amat berguna dan sangat bermakna dalam menyalurkan maklumat kepada masyarakat umum tetapi berapa ramaikah yang menontonnya? Pihak berwajib perlu mencari jalan supaya slot ini menarik perhatian ramai penonton.
Aku nampak program ini cuba memberitahu kepada gadis-gadis senasib mereka bahawa ada jalan bagi mereka supaya tidak mengulangi dosa untuk kali kedua iaitu membunuh bayi dalam kandungan ataupun membuang bayi tersebut. Talian telefon dipaparkan di kaca tv supaya gadis yang senasib menghubungi bagi mendapatkan bantuan. Secara peribadi, aku menyokong program ini bagi membantu dan mengurangkan masalah buang bayi di tempat-tempat yang tidak sepatutnya. Namun, ada kekurangan yang aku rasakan. Mengapa hanya mendedahkan kesilapan gadis-gadis tersebut sahaja? Aku sangat yakin bahawa gadis-gadis tersebut telahpun sedar atas kesilapan mereka dan bertaubat atas perbuatan terkutuk itu. Jadi, mengapa tidak didedahkan sekali apa terjadi kepada pasangan mereka? Bagi aku, ia perlu supaya memberi kesedaran kepada remaja-remaja lelaki. Jika semua orang tahu, apakah akibat jika melakukannya, maka sekurang-kurangnya apabila terniat sahaja untuk melakukannya, mereka akan beringat akan akibatnya. Rata-rata program sebegini hanya mendedahkan kesilapan mereka dan mempamerkan kesedaran mereka sahaja. Bagi aku, ini tidak wajar kerana paparan tersebut hanya berpihak kepada satu pihak sahaja.
Wahai pihak bertanggungjawab, mengapakah hanya kisah gadis yang malang itu sahaja dipaparkan? Mengapakah tidak selongkar sahaja kisah pasangan mereka? Mengapakah pasangan mereka tidak mendapat apa-apa balasan daripada perbuatan tersebut? Mengapa? Tidak ada bukti yang kukuhkah untuk mendakwa perbuatan mereka? Mengapa? Atau adakah disebabkan ibubapa si gadis malang itu tidak mahu melaporkan kepada polis kerana tidak mahu memanjangkan cerita lantaran mahu menutup malu? Takut malu dengan masyarakat? Jika ia berterusan, dikhuatiri remaja-remaja lelaki tidak akan mendapat apa-apa pengajaran daripada perbuatan tersebut. Maka, ia mungkin akan berterusan dan sentiasa bertambah dari semasa ke semasa tanpa berkurangan.
Akhir kata, marilah kita didik anak-anak kita dengan ajaran Islam yang sepatutnya. Perkara ini perlu dilaksanakan oleh semua pihak bukan hanya pihak-pihak tertentu atau golongan ibubapa sahaja.

Wallahu ‘alam.

Friday, October 14, 2011

Kuasa Ayat 1000 Dinar


Semenjak semester baru bermula bagi pelajar-pelajar ijazah, parking adalah masalah yang agak kritikal. Sehingga parking di tepi-tepi jalan, kiri dan kanan adalah perkara biasa. Jika dahulu, polis bantuan membenarkan parking di sebelah tepi jalan sama ada kiri atau kanan sahaja, jika tidak, saman akan diberikan. Namun kini, polis bantuan amat memahami tentang masalah parking. Mereka membenarkan kenderaan diletakkan di kedua-dua belah sisi jalan.
Oleh sebab itulah, aku gemar datang awal untuk memastikan bahawa aku dapat meletakkan kereta di tempat yang selesa. Namun, Allah menguji aku satu hari. Aku terlewat ke tempat kerja. Hanya doa yang dapat aku panjatkan kepadaNya. Aku tidak lagi gelisah seperti sebelum ini di mana aku sering kali gelisah jika terlewat.
Semasa menghantar anakku ke taskanya, aku mengajarnya membaca doa naik kenderaan dan Ayat 1000 dinar. Walaupun aku sedar, anakku masih terlalu kecil lagi untuk itu namun aku tahu dia memahami dan InsyaAllah lama-kelamaan dia dapat menghafalnya. Tatkala aku membaca doa dan ayat tersebut, kelihatan anakku itu memandang tajam ke arahku seolah-olah sedang mengikuti bacaanku itu. Namun, hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui.
Ketika aku hampir sampai ke tempat meletak kenderaan, aku membaca ayat 1000 dinar sekali lagi tanpa henti. Aku memperlahankan kenderaanku sambil memerhatikan sama ada parking lot kosong untuk aku. Mulut aku terkumat-kamit dengan ayat 1000 dinar dan akhirnya aku mendapat parking lot yang kosong dan selesa untuk aku. Alhamdulillah. Betul kata orang ayat 1000 dinar ini ada 1000 manfaat, untuk mencari parking, apabila dalam keadaan buntu, murah rezeki dan banyak lagi. Aku telah mengamalkan ayat 1000 dinar ini kerap kali terutamanya ketika mencari parking. Alhamdulillah kebanyakannya, aku memang dapat parking walaupun parking itu sudah penuh. Ada sahaja kenderaan yang akan keluar untuk memberi ruang kepada aku. Wallahu a’alam…
Selamat mencuba…..

Saturday, October 8, 2011

Tabik Pak Posmen


Semalam, sewaktu aku pulang ke rumah pada waktu tengah hari untuk makan bersama isteri, aku terlihat seorang posmen yang membuat aku kagum seketika. Waktu itu hujan renyai-renyai dan kelihatan posmen itu menghantar surat dari rumah ke rumah. Aku pasti bajunya dibasahi hujan walaupun sedikit. Namun, aku tidak dapat melihat senario itu lama-lama kerana aku sedang memandu. Apapun, aku tabik pada posmen yang punyai sikap begitu.
Sewaktu itulah aku rasa sangat bersyukur dengan pekerjaan aku sekarang ini. Aku hanya duduk di dalam pejabatku yang berhawa dingin. Tidak perlu berhujan ataupun berpanas. Aku tidak perlu bersesak-sesak di jalan raya untuk pergi ataupun pulang ke rumah. Aku punyai masa untuk mengambil dan menghantar anakku ke taska dan pelbagai lagi aktiviti yang aku dapat lakukan dengan penuh rasa kesyukuran.
Sesetengah pekerjaan memerlukan pekerjanya berhujan dan berpanas. Kebanyakan orang ke tempat kerja, mereka perlu bersesak di jalan raya. Dahulu ya, akupun pernah bersesak di jalan raya yang sangat menguji kesabaranku. Aku juga pernah hanya menaiki bas dan LRT untuk ke tempat kerja di sekitar kuala lumpur. Seperti sedia maklum, menunggu bas ini amat menguji kesabaran diri kita. Aku pernah keluar rumah seawal jam 6 pagi untuk memastikan aku tidak ketinggalan bas dan supaya tidak terlewat sampai ke pejabat. Aku pernah sampai rumah pada jam 10 malam kerana masalah bas dan kesesakan jalan raya.
Alhamdulillah, perkara-perkara tersebut telah aku alami dan kini aku aku tidak perlu risau lagi kerana terlewat, aku tidak perlu bergegas mengejar bas dan aku tidak perlu bersesak lagi kerana tempat kerja aku kini melawan arus. Secara analoginya orang ke bandar, aku ke kampung.
Alhamdulillah aku panjatkan kesyukuranku kepada Illahi……

Thursday, September 29, 2011

Satu Penghijrahan

Alhamdulillah setelah tamat berpuasa pada tahun 2011 ini, aku seolah-olah mendapat satu kekuatan dalam diriku. Aku harapkan kekuatan ini akan berterusan sampai bila-bila yang tiada nohtahnya.

Perjalanan ibadah puasa tahun ini telah mengubah diriku untuk menjadi lebih baik daripada tahun-tahun sebelum ini. Aku berdoa agar hidup aku diberkati Allah dan dilimpahkan kurniaNya. Aku berdoa agar aku sekeluarga dapat hidup dengan sihat dan sempurna. Aku berdoa agar aku dapat menyara kehidupan aku, isteri aku dan juga anak-anak yang aku amat sayangi. Aku berdoa agar aku dapat menjalankan ibadah-ibadah sunat bagi mendapat ganjaran di akhirat kelak...

Jika dalam bulan puasa aku boleh bangun seawal jam 5 pagi untuk bersahur dan tidak tidur selepas subuh, mengapa tidak pada hari-hari biasa? Alhamdulillah, segala apa yang aku praktikkan dalam bulan puasa, terutamanya bangun seawal jam 5 pagi, telah membuatkan aku seolah-olah biasa untuk itu. Tanpa bunyi jam loceng, aku berjaya bangun seawal jam 5 pagi dan kadang-kadang awal daripada itu. Ini membuatkan aku mempunyai masa yang secukupnya untuk menguruskan hal-hal yang tidak aku sempat untuk lakukannya pada hari-hari sebelumnya.

Oleh itu, mulai hari ini, aku bertekad untuk membuat sesuatu yang aku harapkan ia akan menjadi kenyataan satu hari nanti. Aku ingin menyasarkan supaya:-
1 - menyambung semula penulisan buku yang telah lama tergendala (jangka siap Disember 2011)
2 - membuat pelbagai kajian (research) untuk menaikkan kerjaya aku ke tahap yang amat membanggakan (1 tahun sekurang-kurannya 1 kajian)
3 - menukarkan hasil kajian aku kepada penulisan buku yang boleh dimanfaatkan oleh semua (1 tahun sekurang-kurannya 1 kajian)

Ya Allah ya tuhanku, aku bermohon agar sasaranku ini menjadi kenyataan. Amin ya robbal 'alamin....

Salam pertemuan....

Assalamualaikum semua... sama ada pembaca-pembaca baru ataupun pembaca-pembaca lama dari (http://zaimura.wordpress.com).....

mulai saat ini aku akan menggunakan blog ini untuk mencoretkan kisah-kisah aku sama ada berbentuk motivasi, nasihat, bimbingan ataupun apa sahaja yang dikirakan sesuai untuk pembaca-pembaca blog aku..... pertukaran blog ini adalah di atas sebab-sebab teknikal yang tidak dapat dielakkan...

diharapkan semua pembaca dapat memanfaatkan segala isi yang terkandung di dalam blog ini. segala yang baik, jadikanlah panduan dan segala yang tidak baik jadikanlah sempadan....

akhir kata, segala yang baik, datangnya dari Allah dan segala yang buruk datangnya daripada aku sendiri.... semoga Allah mengampunkan dosa-dosaku...

Wallahu 'alam....