Time out? Tahu tak apa itu time out? Pernah tengok Nanny 911? Ya, time out mcm itulah yang aku maksudkan.
Kepada yang tidak pernah menonton Nanny 911, biarlah aku ceritakan serba sedikit mengenainya.
Nanny 911 merupakan rancangan tv yang memaparkan kisah bagaimana pengasuh kanak-kanak mengubah sikap dan tingkahlaku anak-anak daripada nakal kepada kurang nakal, tidak berdisplin kepada berdisplin, tidak mendengar kata kepada mendengar kata dan sebagainya. Salah satu caranya ialah "time out".
Pada mulanya aku tidak percaya time out ini boleh digunakan dalam mendidik dan mengajar anak. Namun, baru-baru ini, isteri aku menggunakan cara ini dan didapati cara ini agak berhasil. Namun, untuk kepastian, aku cuba sendiri dengan anak aku apabila dia berkelakuan sangat nakal sehingga memukul, menendang dan sebagainya sehinggakan adiknya menangis.
Begini ceritanya.....
Si kakak agak nakal dengan si adik, mungkin akibat daripada perasaan cemburunya atau sebagainya. Memukul, menendang, menggigit, memarah adik adalah perkara yang biasa bg si kakak terhadap si adik. Sudah berkali-kali aku dan isteri, menegur dengan pelbagai cara. Di antarnya memberi nasihat dan cakap secara baik mahupun membalas balik apa yang dilakukannya terhadap si adik. Maklum sahaja lah, si kakak masih berumur 2 tahun lebih, masih belum faham dengan apa yang ditegur.
Tempoh hari, seperti biasa, si kakak berebut mainan dengan si adik lalu memukul kepala si adik. Lantas aku pun menegur dengan cara baik, "Jangan pukul adik, sakit". Nak tahu apa reaksi si kakak? Hmmm..... dia pukul lagi kepala si adik lalu si adik terus menangis.
Teringatkan kata-kata isteri aku, aku pun cuba cara time out yang isteri aku buat pada hari sebelumnya. Aku pun kata, "Kalau kakak buat adik lagi, daddy denda kakak, daddy letak kakak kat tepi pintu tu nak?". Dia pukul lagi si adik. Apa lagi, aku pun terus mengangkat si kakak ke satu ruang di dalam bilik tersebut sebelah pintu. Aku kata, "Kakak duduk situ, jangan gerak". Si kakak pun dengan muka sedihnya berkata, "Kakak nak bangun", Hati aku sedih juga apabila si kakak merayu-rayu untuk bangun tapi aku keraskan hati. Aku kata, "Kakak boleh bangun tapi dengan syarat, jangan buat adik lagi. Kakak kena mintak maaf dulu kat adik. Cakap, adik, kakak mintak maaf, kakak tak buat lagi". Si kakak pun berkata "Janji... adik, kakak mintak maaf".
Oleh sebab dia sudah mintak maaf, aku pun benarkan si kakak untuk bangun dari ruang tersebut. Lalu, si kakak menuju ke arah adik dan tarik tangan adik untuk bersalam sambil berkata, "Adik, kakak mintak maaf". Kemudian, terus dia jadi baik dengan adik untuk waktu itu. Mainan dimain sama-sama.
Jadi, aku dapat rasakan yang si kakak tahu dia buat salah dan telah dikenakan denda sebab itu dia terus jadi baik. Alhamdulillah, syukur aku kepadaNya.
Monday, April 23, 2012
Saturday, April 14, 2012
Perkembangan Anak-anak 2
Tempoh hari aku ada menyebut tentang perkembangan si kakak yang sangat positif. Sebenarnya, perkembangn si adik juga positif. Ini kerana si adik sudah mula bertatih seawal 8 bulan dan kini sudah 10 bulan dia sudah pandai berjalan laju dengan bantuan tangan orang lain. Jika dia yakin, aku pasti dia sudah pandai berjalan tanpa apa-apa bantuan.
Perkembangan positif juga aku dapat lihat pada pelbagai sudut. Dia seakan-akan memahami tentang apa yang aku katakan dan apa yang aku lakukan. Sudah pandai menepuk apabila disuruh tepuk, sudah pandai merajuk apabila dimarahi dan juga sudah tahu apabila kami mahu meninggalkannya di rumah nenek-neneknya. Aku sangat bersyukur atas apa yang telah dikurniakan olehNya kepada aku dan anak-anak.
Walaupun, dia tidak mahu makan nasi namun aku tetap bersyukur badannya tetap besar dan tegap. Ini mungkin hasil daripada susuan ibunya yang tidak henti-henti. Aku berdoa agar dia mahu makan nasi suatu hari nanti. Amin....
Friday, April 13, 2012
Perkembangan Anak-anak
Bukan senang memikul tanggungjawab sebagai ibu bapa... perlu menjaga dan mengambil tahu banyak perkara terutama perkara yang berkaitan dengan anak. Sentiasa bersabar dengan kelakuan anak tetapi jangan sampai membiarkan anak itu terus membuat perkara yang salah. Tegur dengan cara yang betul jangan sampai mendera anak. Cukuplah sekadar pukul dengan niat untuk menegur dan mendidik.
Sedar tak sedar, anak aku dah besar. Yang sulung berumur 2 tahun setengah dan kedua 10 bulan. Si kakak dihantar ke taska yang kami panggil sekolah. Ini kerana untuk membiasakan dirinya dengan istilah sekolah supaya tidak kekok apabila tiba masanya untuk ke sekolah sebenar nanti.
Lagipun, bagi aku, istilah sekolah itu amatlah sesuai digunakan di mana-mana peringkat. Walau bagaimanapun, kami tidak gemar menggunakan istilah "school" seperti kebanyakan ibu bapa yang gemar akan istilah tersebut. Apa yang aku tahu, antara alasan mereka menggunakan istilah itu adalah kerana utuk mengajar mereka berbahasa Inggeris. Ini samalah seperti penggunaan istilah "fish", "elephant" dan sebagainya. Bagi aku, itu bukanlah cara yang tepat untuk mengajar bahasa Inggeris. Bagi aku, ajarlah anak itu dengan cara bercakap dengan anak dalam ayat bahasa Inggeris yang penuh. Maksud aku, tidak semestinya bercakap bahasa Inggeris sepanjang hari. Tapi, terpulanglah, kalau nak cakap sepanjang hari pun lagi bagus.
Berbalik kepada cerita di atas, si adik pula dihantar ke rumah neneknya memandangkan dia masih kecil dan belum pandai berjalan lagi. InsyaALlah, apabila si adik sudah pandai berjalan, dia juga akan dihantar ke taska.
Bagi aku, taska adalah tempat yang sesuai bagi perkembangan kanak-kanak. Di sana hidup anak-anak akan lebih berdisplin. Mandi, makan, tidur, main dan sebagainya telah diatur oleh pihak taska. Apa yang aku perhatikan, perkembangan si kakak amat positif. Dia dah pandai baca doa sebelum dan selepas makan (walaupun sebutan tidak berapa tepat), menyanyi pelbagai jenis lagu sampai habis, dan yang paling mengujakan aku ialah dia dah kenal nombor 1 - 10 dan kebanyakan huruf. Alhamdulillah... Ini kerana dia pandai menyebut nombor plat kereta aku dan isteri aku. Bukan itu sahaja, dia kenal kebanyakan binatang apabila melihat kad imbas (flash card)....
Alhamdulillah dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam membantu perkembangan anak aku sama ada secara langsung ataupun tidak langsung terutama pihak taska dan saudara mara....
Mudah-mudahan anak-anak aku akan tergolong dalam golongan orang-orang yang beriman dan berguna pada agama, bangsa dan negara.... amin....
Monday, March 5, 2012
Pinjaman Peribadi: Adakah ia membantu atau membebankan?
Kali ini aku ingin berkongsi dengan pembaca-pembaca sekalian tentang satu kisah seorang rakanku yang rasa dirinya teraniaya dan dia merasakan dirinya amat bodoh sekali tentang kisahnya yang amat peribadi bagi dirinya dan juga diri aku. Bukan aku ingin mengaibkan dirinya tetapi ingin berkongsi kisahnya agar perkara ini tidak terjadi kepada orang lain. Lagipun, aku telah meminta kebenaran daripada empunya badan tentang niatku untuk berkongsi cerita dalam blog aku ini memandangkan dia tidak mempunyai blog sendiri.
Begini kisahnya………….
Rakanku ini pernah membuat pinjaman peribadi atas sebab-sebab peribadi (namanya dah pun peribadi, memanglah alasannyapun sebab peribadi… hihihi) yang mana dia sendiri tidak mahu pada mulanya. Atas sebab terpaksa maka dia terpaksa berbuat demikian. 3 tahun lepas, dia membuat pinjaman peribadi sebanyak (lebih kurang) RM 40K. Namun, jumlah pembayaran setelah dikira dengan interest adalah lebih kurang RM 64K.
2 tahun selepas itu (2010), jumlah full settlement setakat hari tersebut (iaitu awal tahun 2010) ialah lebih kurang 38K. Angka ini telah disemak dengan pihak bank. Dia membuat pembayaran sekaligus RM 30K kerana ingin cepat menghabiskan jumlah bayaran. Jadi, baki yang tidak dilangsaikan adalah lebih kurang RM 8K. Walau bagaimanapun, atas sebab-sebab tertentu, dia tidak dapat meneruskan bayaran bulanan seperti biasa. Maka dengan itu, sepanjang tahun 2010, tiada bayaran bulanan dilakukan.
Selang 1 tahun selepas itu (awal 2011), dia semak kembali dengan bank tersebut. Apa yang mengejutkan adalah jumlah RM 8K tersebut telah meningkat menjadi RM 11K!!!! dalam tempoh setahun telah meningkat sebanyak 3K? Setelah dikira-kira, memang betul, interest yang dikenakan (6%) telah menyebabkan interest setahun ialah lebih kurang RM 3K juga. Dan pembayaran awal (RM30K) tidak menyebabkan interestnya berkurang jika bayaran bulanan tidak dilakukan!!!!! “Apakah ini satu penindasan?” rintih rakanku…
Setahun selepas itu (2012), dia menyemak kembali jumlah baki yang perlu dijelaskan setelah dia bersedia dengan jumlah RM 11K tersebut. Namun, jantung rakanku ini seolah-olah telah jatuh setelah mendengar jumlahnya… berapa nak tau? Ya, jumlahnya adalah lebih kurang RM 14K!!!!! meningkat sebanyak RM 3K? jika dikira balik jumlah 3K itu adalah interest 6% yang dikenakan ke atasnya.
Kesimpulan daripada cerita rakanku tersebut… apa yang boleh aku katakan ialah pinjaman peribadi sangat membebankan dan sangat menindas. Jika kita tidak tahu konsepnya, caranya, kaedahnya dan sebagainya, janganlah pandai-pandai buat sendiri…. Cubalah Tanya kepada yang lebih arif tentang perkara itu. Sepatutnya, staf bank tersebut perlu menjelaskan bahawa jika tidak melakukan pembayaran bulanan, maka interest akan dikenakan ke atas jumlah asal pinjaman. Ini tidak selalunya, salesmen atau agen atau sebagainya akan kata kalau bayar banyak nanti interest akan berkurang…. Tolonglah jangan menipu kami rakyat biasa… orang kebanyakan yang jahil tentang duit, tentang pinjaman tentang ekonomi dan sebagainya…. Wallahu ‘alam….
Sunday, January 15, 2012
Penat tetapi menyeronokkan
Itulah dia perasaan yang aku alami selama bergelar seorang pensyarah. Penat memang penat tetapi itulah yang aku cari, kepuasan diri…..
Puas hati apabila dapat mencurahkan ilmu kepada anak-anak murid, berkongsi pengalaman kerja dan pengalaman hidup, di samping menasihati anak-anak murid walaupun belum tentu mereka mendengar dan sudah tentu mereka tidak suka mendengar bebelan tersebut. Hahaha….. Yang pasti, aku mendapat kepuasan diri apabila ilmu yang dicurahkan dapat difahami dan digunakan oleh anak-anak murid….
Hampir setiap hari hidup aku di pejabat adalah mengajar. Ada juga hari di mana aku tidak mempunyai kelas tetapi ada kerja-kerja selain daripada mengajar yang perlu aku lakukan. Di antara kesibukan itu adalah persiapan mengajar kerana aku tidak suka sama sekali menghadirkan diri di dalam kelas tanpa persediaan yang rapi. Kata orang, aku ini seperti ‘perfectionist’. Apa yang aku buat, aku cuba jadikan ia sesempurna yang boleh.
Sebelum ini, aku pernah bekerja di pelbagai organisasi sebagai pekerja di bahagian pentadbiran. Ini termasuklah jabatan kerajaan mahupun swasta. Perbezaan ketara yang aku dapat rasakan ialah kepuasan diri. Dulu aku tidak mendapat kepuasan diri sehinggalah aku mengambil keputusan untuk segera melanjutkan pelajaran di peringkat Master demi mencapai apa yang dihajati. Kini, aku berasa sangat berpuas hati dengan kerja aku, seronok walaupun penat. Dulu, kalau penat, selalu aku mengeluh dan terasa ingin sahaja berhenti kerja dan selalu rasa malas untuk ke pejabat. Kini, tidak lagi. Sungguhpun penat, aku sentiasa bermotivasi untuk ke pejabat bagi menyiapkan kerja-kerja aku. Setiap hari aku bekerja lebih masa walaupun tidak dibayar elaun lebih masa. Dulu, pasti aku mengeluh jika perlu bekerja lebih masa (walaupun dibayar) dan sentiasa mengelak supaya aku dapat pulang ke rumah segera. Pasti aku mengelak untuk datang pejabat pada hari cuti atau hari sabtu ahad. Kini, aku sentiasa bermotivasi untuk ke pejabat sehinggakan aku sanggup pergi ke pejabat pada hari-hari cuti. Namun begitu, komitmen terhadap keluarga aku bertambah. Sudah mempunyai 2 orang anak, susah untuk itu. Tetapi jika perlu dan terpaksa ke pejabat pada hari minggu, aku tidak pernah mengelak.
Jika dulu, penat di pejabat tidak akan terbawa-bawa ke rumah. Tetapi kini, aku terpaksa membawa pulang ke rumah demi memastikan kerja-kerja aku siap dan kelas aku berjalan lancar. Dulu, sampai sahaja rumah, aku dapat berehat dan hari-hari cuti merupakan hari cuti yang bermakna bagi aku. Tidak perlu fikir pasal kerja. Bagi aku, kerja hanya perlu difikirkan pada hari bekerja dan waktu kerja sahaja. Kini, kerja aku tidak pernah putus. Asalkan tidak siap kerja sahaja, pasti aku membawa pulang kerja-kerja tersebut. Contohnya, persediaan kelas pada minggu berikut, perlu disiapkan sebelum masuk kelas hari pertama pada minggu berikutnya. Jika tidak, sudah pasti anak-anak murid aku kabur dengan pelajaran pada hari tersebut. Mudah-mudahan, anak-anak murid aku belajar bersungguh-sungguh walau apapun bidang yang mereka ceburi dan juga mudah-mudahan mereka berjaya di dunia dan di akhirat kelak.
Itulah dia kerjaya aku sekarang. Penat tetapi menyeronokkan.
Subscribe to:
Comments (Atom)