Showing posts with label perkembangan anak. Show all posts
Showing posts with label perkembangan anak. Show all posts

Saturday, April 14, 2012

Perkembangan Anak-anak 2

Tempoh hari aku ada menyebut tentang perkembangan si kakak yang sangat positif. Sebenarnya, perkembangn si adik juga positif. Ini kerana si adik sudah mula bertatih seawal 8 bulan dan kini sudah 10 bulan dia sudah pandai berjalan laju dengan bantuan tangan orang lain. Jika dia yakin, aku pasti dia sudah pandai berjalan tanpa apa-apa bantuan.

Perkembangan positif juga aku dapat lihat pada pelbagai sudut. Dia seakan-akan memahami tentang apa yang aku katakan dan apa yang aku lakukan. Sudah pandai menepuk apabila disuruh tepuk, sudah pandai merajuk apabila dimarahi dan juga sudah tahu apabila kami mahu meninggalkannya di rumah nenek-neneknya. Aku sangat bersyukur atas apa yang telah dikurniakan olehNya kepada aku dan anak-anak.

Walaupun, dia tidak mahu makan nasi namun aku tetap bersyukur badannya tetap besar dan tegap. Ini mungkin hasil daripada susuan ibunya yang tidak henti-henti. Aku berdoa agar dia mahu makan nasi suatu hari nanti. Amin....

Friday, April 13, 2012

Perkembangan Anak-anak

Bukan senang memikul tanggungjawab sebagai ibu bapa... perlu menjaga dan mengambil tahu banyak perkara terutama perkara yang berkaitan dengan anak. Sentiasa bersabar dengan kelakuan anak tetapi jangan sampai membiarkan anak itu terus membuat perkara yang salah. Tegur dengan cara yang betul jangan sampai mendera anak. Cukuplah sekadar pukul dengan niat untuk menegur dan mendidik.

Sedar tak sedar, anak aku dah besar. Yang sulung berumur 2 tahun setengah dan kedua 10 bulan. Si kakak dihantar ke taska yang kami panggil sekolah. Ini kerana untuk membiasakan dirinya dengan istilah sekolah supaya tidak kekok apabila tiba masanya untuk ke sekolah sebenar nanti.

Lagipun, bagi aku, istilah sekolah itu amatlah sesuai digunakan di mana-mana peringkat. Walau bagaimanapun, kami tidak gemar menggunakan istilah "school" seperti kebanyakan ibu bapa yang gemar akan istilah tersebut. Apa yang aku tahu, antara alasan mereka menggunakan istilah itu adalah kerana utuk mengajar mereka berbahasa Inggeris. Ini samalah seperti penggunaan istilah "fish", "elephant" dan sebagainya. Bagi aku, itu bukanlah cara yang tepat untuk mengajar bahasa Inggeris. Bagi aku, ajarlah anak itu dengan cara bercakap dengan anak dalam ayat bahasa Inggeris yang penuh. Maksud aku, tidak semestinya bercakap bahasa Inggeris sepanjang hari. Tapi, terpulanglah, kalau nak cakap sepanjang hari pun lagi bagus.

Berbalik kepada cerita di atas, si adik pula dihantar ke rumah neneknya memandangkan dia masih kecil dan belum pandai berjalan lagi. InsyaALlah, apabila si adik sudah pandai berjalan, dia juga akan dihantar ke taska.

Bagi aku, taska adalah tempat yang sesuai bagi perkembangan kanak-kanak. Di sana hidup anak-anak akan lebih berdisplin. Mandi, makan, tidur, main dan sebagainya telah diatur oleh pihak taska. Apa yang aku perhatikan, perkembangan si kakak amat positif. Dia dah pandai baca doa sebelum dan selepas makan (walaupun sebutan tidak berapa tepat), menyanyi pelbagai jenis lagu sampai habis, dan yang paling mengujakan aku ialah dia dah kenal nombor 1 - 10 dan kebanyakan huruf. Alhamdulillah... Ini kerana dia pandai menyebut nombor plat kereta aku dan isteri aku. Bukan itu sahaja, dia kenal kebanyakan binatang apabila melihat kad imbas (flash card)....

Alhamdulillah dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam membantu perkembangan anak aku sama ada secara langsung ataupun tidak langsung terutama pihak taska dan saudara mara....

Mudah-mudahan anak-anak aku akan tergolong dalam golongan orang-orang yang beriman dan berguna pada agama, bangsa dan negara.... amin....